Friday, January 22, 2016

Qu Puteh Whitening Pro 9 Dikesan Merbahaya

Produk Qu Puteh iaitu Qu Puteh Whitening Pro 9 telah diuji dan dikesan mengandungi bahan terlarang yang merbahaya. Begitulah kenyataan akhbar yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, bertarikh 22 Januari 2016.

Dengan kenyataan ini, semua pengguna adalah dilarang daripada menggunakan produk kosmetik yang dimaksudkan. Berikut adalah kenyataan akhbar yang saya maksudkan berkaitan larangan menggunakan Qu Puteh Whitening Pro 9 yang dikesan mengandungi merkuri, iaitu bahan yang dianggap sebagai racun berjadual.

Qu Puteh Whitening Pro 9 Dikesan Merbahaya



Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengenai Produk Qu Puteh Mengandungi Racun Berjadual

Berikut adalah kenyataan akhbar oleh Pengarah Kesihatan Malaysia berkaitan produk Qu Puteh Whitening Pro 9, bersandarkan kepada laporan ujian yang telah dilakukan (rujuk imej di atas):

Produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik. Oleh itu, produk kosmetik Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang mengalami tinnitus (ringing in the ears) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block (NOT151106645K) selama lebih kurang tiga bulan. Pengguna telah pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk-produk tersebut.

BPFK telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block. Hasil pengujian menunjukkan salah satu produk tersebut iaitu produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri pada paras yang tinggi.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan. Produk kosmetik tidak boleh mengandungi merkuri kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Notifikasi produk Qu Puteh Whitening Pro 9 telah dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggilbalik kesemua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Sesiapa yang mempunyai stok produk di atas dinasihatkan menghentikan penjualan/ pengedaran/penggunaan produk tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Pengguna digalakkan untuk melapor kepada BPFK mengenai sebarang kesan sampingan atau kesan advers yang dialami apabila mengguna sesuatu produk kosmetik di talian 03-78018496/78835532 atau melalui emel kosmetik@bpfk.gov.my serta mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar yang segera.

Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

22 Januari 2016

Saya difahamkan bahawa produk yang dimaksudkan iaitu Qu Puteh Whitening Pro 9 didatangkan dalam satu set seperti ditunjukkan di atas. Set produk ini telah diberitakan ditarik daripada pasaran, dan arahan telah dikeluarkan juga dari pengasas produk ini iaitu Dato Sri Vida supaya produk ini tidak lagi dijual kepada pengguna.

Sumber: KP Kesihatan


Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews