Wednesday, January 21, 2015

Ganti PLKN Dengan Program Kesukarelawanan



PETALING JAYA: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditangguhkan pada tahun ini sewajarnya digantikan dengan program berbentuk amal kebajikan atau kesukarelawanan pasca banjir.

Presiden Majlis Permaufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, beberapa program amal perlu dicadangkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang teruja untuk mengikuti program tersebut supaya masa mereka tidak dibazirkan dengan perkara tidak berfaedah.

"Kerajaan mungkin boleh menyarankan supaya mereka menyertai program amal atau menjadi sukarelawan pasca banjir di negeri yang terjejas akibat bencana itu. Malah, mereka juga boleh bantu mangsa banjir di negeri sendiri.

"Pendekatan itu sedikit sebanyak membantu mereka mengisi masa terluang dengan aktiviti bermanfaat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Malah, beliau berkata, dengan cara itu juga generasi muda juga mampu berbakti kepada masyarakat di sekeliling mereka.

"Walaupun tidak mampu menghulurkan bantuan wang ringgit, sekurang-kurangnya mereka dapat meringankan beban keluarga yang terjejas dengan membantu membersihkan kediaman mereka," katanya.

Mohamad Ali berkata, sekiranya generasi muda didedahkan dengan aktiviti kesukarelawanan, ia sekali gus menyumbang kepada pembentukan jati diri.

"Mereka akan jadi lebih bersedia dalam menghadapi apa jua ancaman atau malapetaka pada masa hadapan. Setidak-tidaknya mereka sudah mengetahui langkah yang perlu dilakukan ketika berdepan situasi banjir," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan penangguhan program tersebut untuk membolehkan penjimatan RM400 juta sebagai langkah yang wajar.

"Saya rasakan keputusan itu wajar selepas mengambil kira penstrukturan semula Bajet 2015 semalam (Selasa)," katanya.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, program itu perlu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan secara menyeluruh.

"Ia perlu diisi dengan lebih banyak modul bersifat kenegaraan," katanya.

Mohamad Ali turut membidas tindakan parti pembangkang yang mahu program tersebut dimansuhkan kerana ia dianggap sebagai pembaziran.

"Saya tidak setuju jika program ini dimansuhkan. Program ini penting kerana membantu seseorang itu menjadi lebih berdisiplin dan berfikiran ke hadapan. Malah, ia juga dapat menanam semangat cintakan negara di kalangan generasi muda," katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PLKN 2015 ditangguhkan untuk membolehkan penjimatan RM400 juta.

Selain itu, ia dilakukan bagi membolehkan program itu dikaji semula dan penambahbaikan dilakukan.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Perkembangan Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohmed Asri Yusof berkata, kira-kira 30,000 peserta PLKN kumpulan pertama (sesi 1) yang memulakan program itu pada 6 Disember lalu tidak tertakluk kepada penangguhan yang diumumkan kerajaan pada Selasa.

Katanya, mereka akan meneruskan program tersebut sehingga tamat menjalani latihan pada 14 Februari depan. - mStar Online

Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews