Tuesday, December 23, 2014

PT3 kelam kabut perlukah ia dikekalkan?


PT3
PT3 kelam kabut perlukah ia dikekalkan?  | SHAH ALAM – Keputusan Pentaksiran Tingkatan tiga (PT3) yang diumumkan hari ini ternyata mengejutkan pelbagai pihak, mana tidaknya PT3 yang mengambilalih ‘peranan’ Peperiksaan Menegah Rendah (PMR) telah melihatkan penurunan calon yang mendapat semua A.
Antaranya Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut mempersoalkan PT3 ini.
Menurutnya reaksi yang beliau dapat terutama daripada ibu bapa calon ternyata mereka kecewa dengan PT3.
“Jam 9 pagi, saya keluar pejabat untuk ke SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi melihat reaksi anak murid dan ibu bapa menerima keputusan peperiksaan PT3. Saya ke sekolah ini kerana inilah sekolah terbaik di daerah ini yang setiap tahun ratusan pelajarnya mendapat 8A ke atas.
“Namun, tahun ini hanya 8 orang pelajar sahaja dari sekolah ini yang mendapat semua A. Pencapaian sekolah ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan pencapaian dari sekolah berasrama penuh yang lain. Maklumat awal yang saya perolehi menunjukkan hanya 11 orang dari Tunku Kursiah yang mendapat semua A, 10 dari Faris Petra, seorang dari SDAR, seorang dari Sakti, 21 orang dari Mozac dan 26 orang dari Tun Fatimah.
“Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebooknya.
Jelas Agus lagi, luahan hati ibu bapa calon juga mengatakan bahawa PT3 dilaksanakan secara tergesa-gesa sehinggakan anak-anak mereka tidak sempat untuk ‘bersiap siaga’.
“Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc (sementara), diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi.
“Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya,” katanya.
Menurut Agus lagi, oleh itu pandangan ibu bapa dan guru perlu tentang PT3 perlu diambil kira sekiranya sayangkan pendidikan negara.
“Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?
“Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita. Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya,” katanya…SH
Sumber : http://eberita.org

Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews