Tuesday, December 23, 2014

Ibu Tunggal Nyaris Maut Melayang Jatuh Dari Rumah!

KUALA LUMPUR: Niat untuk menutup pintu beranda rumahnya di tingkat 10 ketika hujan lebat serta ribut yang melanda ibu kota semalam menyelamatkan seorang ibu tunggal dari maut.
 Sunita Rosti
Menurut Sunita Rosti, 35, dinding salah satu daripada biliknya tercabut akibat ribut angin semalam di mana ketika kejadian dia berseorangan dan sedang berehat di atas katil dalam bilik tersebut.
Katilnya itu diletakkan bersebelahan dengan dinding yang tercabut dibawa ribut kuat.
Namun disebabkan hatinya tergerak untuk menutup pintu beranda di bahagian hadapan rumah telah menyelamatkannya daripada menjadi mangsa bencana alam yang boleh disifatkan paling teruk pernah berlaku di Blok 28, Flat Hang Tuah yang didiaminya sejak tiga tahun lalu.
“Kejadian berlaku pada 5.45 petang, saya tengah baring kat bilik, kejadian berlaku ketika saya nak tutup pintu beranda dan bila saya balik ke bilik tengok dinding dah tiada,” katanya ketika ditemui Mynewshub di rumahnya, di sini hari ini.
Kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu memberikan kesan buat ibu tunggal beranak empat ini namun dia bersyukur kerana tiada perkara buruk berlaku terhadap dirinya dan barangannya juga tiada yang terjatuh ke bawah.
Sunita juga bersyukur ketika kejadian berlaku, keempat-empat anaknya yang berusia empat hingga 16 tahun tidak berada di rumah dan tidak mengalami pengalaman buruk seperti yang dialaminya itu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang tercabut dinding biliknya ialah penghuni tingkat 13, yang mana kedua-dua bilik tidurnya terlopong disebabkan insiden tersebut.
Menurut surirumah, Irdawati Rahman, 40, ketika kejadian, tiada sesiapa pun berada di rumah kerana masing-masing mempunyai urusan di luar.
Dirinya bergegas balik ke rumah selepas diberitahu jiran dan alangkah terkejutnya apabila melihat dua dinding bilik rumahnya tercabut.
Barang-barang yang diletakkan berdekatan dinding antaranya seperti cadar dan baju-baju turut sama terjatuh ketika kejadian berlaku.
Selama tiga tahun menetap di situ, menurut Irdawati, kejadian ini memang yang paling teruk pernah dialaminya sekeluarga.
Walaupun masih terkejut dengan insiden itu, namun Irdawati redha dengan ujian yang diberikan buat mereka sekeluarga.
Selain kediaman mereka, satu lagi unit rumah di tingkat 18 turut tercabut dinding, namun hasil tinjauan Mynewshub mendapati penghuni tiada di rumah untuk mendapatkan reaksi balas mereka. – Webberita | Terkini via MYNEWSHUB

Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews