Saturday, March 21, 2015

Anak Bunuh Ibu Bapa Dan Simpan Daging Untuk Makan


Hong Kong: Seorang lelaki yang didakwa membunuh, mengerat dan memasak mayat ibu bapanya disabitkan atas dua tuduhan bunuh, semalam.

Dalam perbicaraan selama 20 hari, mahkamah diberitahu Henry Chau, 31, mengerat ibu bapanya sebelum cebisan mayat diasin dan disimpan dalam bekas makanan seperti ‘daging babi barbeku.’

Kepala Chau Wing-ki, 65, dan isteri Siu Yuet-yee, 62, ditemui di dalam dua peti sejuk pada Mac 2013 di dalam sebuah pangsapuri yang berlumuran darah beberapa hari selepas dilaporkan hilang.

Cebisan mayat lain ditemui di dalam tong sampah dalam keadaan disimpan bersama nasi di dalam bekas makanan.


Media tempatan melaporkan, panel juri Mahkamah Tinggi memutuskan Chau bersalah bagi kedua-dua tuduhan bunuh terhadapnya.

Bagaimanapun, rakannya Tse Chun-kei yang turut berdepan tuduhan sama didapati tidak bersalah. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah ketika didakwa.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas Chau.

Chau mulanya memberitahu polis bahawa ibu bapanya berada di tanah besar China, namun mengaku melakukan pembunuhan itu dalam mesej kepada rakan-rakannya dalam laman sembang Internet.

Dia dikatakan merancang mengelirukan polis supaya dapat ‘mencuri masa’ untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya.

“Saya dan rakan pembunuh merancang menjadikannya seperti kes orang hilang dengan membuang cebisan mayat sikit demi sedikit,” katanya.

Dalam mesej itu, Chau mengaku dirinya psikopat.

“Saya tidak dapat menyelami penderitaan dialami orang lain kerana pengalaman zaman kanak-kanak dan remaja saya sendiri tidak baik,” katanya. - AP

Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews