Friday, January 23, 2015

Mangsa banjir di Sarawak akan turut terima RM500

LEBIH BAIK: Jabu menunjukkan kawasan yang terjejas banjir di peta negeri Sarawak pada sesi taklimat mengenai banjir di Sarawak semalam.
KUCHING: Setiap keluarga mangsa banjir di Sarawak akan menerima bantuan RM500 dalam waktu terdekat ini.
Timbalan Menteri Kewanganan Datuk Ahmad Maslan berkata pemberian bantuan itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika mengumumkan penstrukturan semula Bajet 2015 pada Selasa lepas.
Bagaimanapun ujarnya, mangsa yang berdaftar di pusat pemindahan banjir sahaja yang layak menerima bantuan khas tersebut.
“Saya mahu menyampaikan bahawa apa yang diumumkan Perdana Menteri di Putrajaya dua hari lepas mengenai perkara yang melibatkan banjir itu, juga terpakai di Sarawak.
“Bantuan RM500 untuk setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan banjir.
“Mengikut rekod di Sarawak ada 1,961 keluarga (setakat jam 10 pagi semalam)… kita akan berusaha memastikan bantuan ini diberikan selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Terdahulu beliau mendengar taklimat mengenai banjir di Sarawak yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Selain menghadiri taklimat mengenai banjir di Sarawak Ahmad turut mengadakan lawatan ke beberapa pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Masyarakat Tupong Tengah dan pusat pemindahan mangsa banjir di Kampung Endap, Kota Samarahan.
Menurut Ahmad, antara pengumuman Perdana Menteri ialah RM500 juta untuk urusan pemulihan dan kebajikan mangsa banjir, RM800 juta bagi membaiki dan membina semula infrastruktur asas yang rosak seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan.
Selain itu katanya, RM893 juta untuk membiayai projek tebatan banjir di seluruh negara dan RM100 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) serta RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang turut merangkumi Sarawak.
“Bank Negara menubuhkan ‘Special Relief Facility’ berjumlah RM500 juta untuk SME (perusahaan kecil dan sederhana) yang terlibat dengan banjir dengan hanya 2.25 peratus sahaja kadar faedah.
“Selain itu mangsa banjir yang melakukan pinjaman dengan institusi kewangan seperti BSN, Angrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan ditangguh tempoh bayaran balik pinjaman mereka sehingga enam bulan,” jelasnya.
Tambahnya Bank Rakyat, antara institusi kewangan di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi Skim Pinjaman Peribadi sehingga RM50,000 pada kadar faedah serendah 3.9 peratus dan bayaran balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.
Bukan itu sahaja katanya, sejumlah RM500 juta akan disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir yang akan diurus oleh ProKhas.
“Apa yang disebut Perdana Menteri itu adalah peruntukan awal iaitu peruntukan untuk membaiki dan membina semula infrastruktur yang rosak (RM800 juta) begitu juga RM500 juta (pemulihan dan kebajikan).
“Bererti Kementerian Kewangan dengan keadaan kerajaan mengubah suai perbelanjaan 2015 bersedia menghadapi keadaan banjir ini,” ujarnya.
Sementara itu Jabu berkata bantuan-bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di Sarawak menunjukkan keperihatinan kerajaan pusat dengan nasib menimpa rakyat negeri ini.
“Ia bukan sahaja menunjukkan keprihatinan Kuala Lumpur terhadap nasib menimpa Sarawak, juga rakyatnya tetapi membuktikkan wujudnya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pusat menghadapi banjir.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Sarawak saya mahu mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan pusat,” katanya.

sumber:http://www.theborneopost.com/

Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews