Saturday, January 24, 2015

JPJ jangka bayaran untuk dapat lesen kereta dan motosikal turun

KEPALA BATAS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangka kadar bayaran untuk mendapatkan lesen memandu kereta dan motosikal akan turun berikutan peraturan baharu yang menetapkan pemohon lesen hanya perlu menduduki satu ujian undang-undang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pihaknya akan membuat beberapa perubahan dalam sistem komputer sebelum melaksanakan sistem satu ujian undang-undang itu.
"JPJ akan laksanakan secepat mungkin untuk kemudahan pelbagai pihak dan saya rasa harga untuk mengambil lesen memandu kereta dan motosikal selepas ini lebih murah sedikit," katanya kepada pemberita selepas Program Satu komuniti Satu JPJ, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Penaga di sini hari ini.
Program transformasi JPJ dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lancar kepada penduduk di luar bandar itu dirasmikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

ABU Bakar Manap, 75, gembira menerima lesen B2 selepas 40 tahun tidak memiliki lesen memandu, beliau bersama 230 penduduk menerima lesen ketika majlis perasmian penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di sini hari ini. - Foto Danial Saad
Semalam, Kementerian Pengangkutan memutuskan individu yang ingin mengambil lesen memandu kereta dan motosikal kini hanya perlu menduduki satu ujian undang-undang.
Sebelum ini, mereka yang ingin mengambil lesen kereta dan motosikal perlu mempelajari modul kereta dan modul motosikal berasingan serta menduduki dua ujian berasingan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail menafikan laporan sebuah portal berita yang melaporkan kemalangan maut melibatkan empat orang di Melaka disebabkan sebuah kereta diburu JPJ.
Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati empat anggota JPJ yang menjalankan tugas rondaan terserempak dengan kemalangan itu dan memberi bantuan sementara menunggu polis tiba ke tempat kejadian.
"Berita yang disiarkan itu adalah satu tohmahan kepada JPJ dan sebenarnya tiada keperluan untuk penguat kuasa agensi berkenaan mengejar kenderaan terbabit kerana ia bukan kes jenayah.
"Pihak JPJ juga telah mendapatkan maklumat daripada polis dan bomba di sana (Melaka), mereka maklumkan tiada laporan kereta terlibat dalam kemalangan itu dikejar oleh penguat kuasa kami," katanya.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga maut setelah kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta lain di Kampung Bukit Gereja, Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Melaka, petang semalam.
Portal berita berkenaan melaporkan sebuah daripada kereta yang terlibat dalam kemalangan itu adalah kenderaan yang diburu JPJ sebelum melanggar kereta Perodua Kancil berkenaan. - BERNAMA

Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews