Amaran Ribut Tropika Mekkhala Dikesan Di Sabah-Jabatan Meteorologi Malaysia | Jabatan Meteorologi Malaysia mengesan ribut tropika kuat (Mekkhala), kira-kira 1,154 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah, pukul 5 pagi Sabtu.
Dalam amaran kategori ketiga, jabatan itu berkata ribut yang bergerak kearah Barat-Barat Daya berkelajuan 15 kilometer sejam (kmsj) itu membawa angin kencang timur laut dengan kelajuan 60kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang dan Palawan dan dijangka berterusan sehingga Selasa (20 Jan).
Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menurut satu kenyataan jabatan itu pada Sabtu.
Berikutan itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran kategori kedua dengan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Kuching , Labuan dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Selasa ini.
Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Berikutan itu, jabatan itu juga mengeluarkan amaran untuk perairan di Malaysia bagi kategori kedua dengan angin kencang timur laut berkelajuan 50-60kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutun Labuan juga berterusan sehingga Selasa ini.
Menurut jabatan itu, keadaan itu selain berbahaya kepada semua aktivitiperkapalan dan pantai juga akan menyebabkan kawasan pantai di Kelantan,Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga Isnin ini (19) Jan).
Berikutan keadaan itu, Jabatan Metereologi mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang dijangka berlaku di kawasan perairan Sabah (Sandakan).
Angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berterusan sehingga Selasa (20 Jan) dan keadaan ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Sementara itu, jabatan itu turut menjangkakan ribut petir di perairan Sarawak (Kuching, Mukah dan Bintulu) sehingga lewat pagi ini yang disertai angin kencang berkelajuan 50-60 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 4.5m dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai.
Keadaan yang sama dijangka turut berlaku di perairan Selangor dengan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 3.5m. MSTAR ONLINE
- See more at: http://eberita.org/amaran-ribut-tropika-mekkhala-dikesan-di-sabah-jabatan-meteorologi-malaysia/#sthash.HnPe2U1H.dpuf