Punca Sebenar Pesawat Air Asia QZ801 Hilang Telah Diketahui | Faktor cuaca buruk dipercayai menjadi punca pesawat AirAsia QZ8501 bersama 162 penumpang termasuk anak kapal hilang di sekitar perairan Kalimantan dan Pulau Belitung pagi ini.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura terputus hubungan dengan menara kawalan udara (ATC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta di sini pada pukul 6.12 pagi.
Pemangku Ketua Pengarah Hubungan Udara, Kementerian Perhubungan Indonesia, Djoko Murdjatmojo berkata, kali terakhir berhubung dengan ATC, pesawat itu melaporkan untuk menghindari awan dengan mengalihkan pesawat ke arah kiri.
Dalam masa sama, pesawat itu juga kata Djoko, meminta keizinan untuk terbang pada ketinggian 38,000 kaki daripada 32,000 kaki sebelum itu.
“Pesawat telah meminta laluan yang bukan lauan kebiasaan sebelum putus hubungan,” kata beliau lagi.
Menurut Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), Andi Eka Sakya, usaha pesawat untuk terbang pada ketinggian tersebut sangat logik jika dilihat pada keadaan cuaca di lokasi.
“Berdasarkan data kami, di lokasi hilangnya pesawat (QZ8501) kelihatan awan kumulonimbus yang sangat tebal sehingga mencapai antara lima hingga 10 kilometer,” kata Andi kepada portal berita Kompas.com.
Sependapat dengan Andi ialah Ketua Pusat Meteorologi Penerbangan BMKG Jakarta, Syamsul Huda yang memberitahu, pesawat QZ8501 terbang dalam keadaan cuaca berawan.
“Kemudian pesawat menghadapi awan yang sangat tebal di lokasi (antara Belitung dan Kalimantan). Berdasarkan data, ketinggian puncak awan kumulonimbus yang dihadapi pesawat 48.000 kaki,” kata Syamsul.
Bagi bekas Ketua Staf Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara, Chappy Hakim berkata, masalah cuaca merupakan perkara biasa yang dihadapi dalam penerbangan moden saat ini.
“Sebelum terbang juga kita sudah mengatur rancangan penerbangan dan melihat cuaca di sepanjang laluan penerbangan. Pesawat A320 yang dipakai Air Asia sendiri adalah pesawat canggih yang sudah dilengkapi dengan radar cuaca yang baik,” jelasnya.
Menurut Chappy, terlalu awal untuk merumuskan situasi sebenar yang terjadi pada pesawat AirAsia QZ 8501 kerana ia memerlukan lebih banyak data.
Pesawat QZ8501 membawa 155 penumpang dan 7 anak kapal.
Penumpang-penumpang asing yang turut berada dalam pesawat itu ialah tiga orang yang berasal dari Korea Selatan, seorang dari Malaysia, Singapura, United Kingdom dan Perancis.
Pesawat berkenaan berlepas dari Surabaya, Jawa Timur pada pukul 5.36 pagi dan dijangka mendarat di Singapura pada pukul 8.30 pagi.
Sementara itu, usaha pencarian dan menyelamat mangsa akan diteruskan kata jurucakap Agensi Pencarian Pencarian dan Penyelamatan Nasional Indonesia (Basarnas).
Pihak berkuasa Indonesia juga mengerahkan enam buah kapal dan dua helikopter ke lokasi kejadian untuk menyertai usaha tersebut. ~utusan