Wednesday, January 14, 2015

Keluarga Minta Sedekah Jadi Viral



KUALA TERENGGANU – Kisah seorang lelaki dewasa yang membawa tiga orang kanak-kanak bersama dua lagi wanita dipercayai isterinya dan ibu kepada salah seorang daripada mereka kini menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Keluarga tersebut didakwa sering berlegar di Kuala Terengganu dan memasuki kereta orang awam secara tiba-tiba dan meminta wang, selain menyuruh pemilik kenderaan terbabit menghantarnya pulang.

Mereka juga dikatakan enggan keluar dari kereta yang dimasuki sehingga diberikan wang, kecuali mangsa menghubungi polis dan ia kini menjadi bualan hangat serta menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Salah seorang mangsa yang ditemui Sinar Harian mengakui pernah mengalami situasi di mana salah seorang daripada keluarga berkenaan mengetuk tingkap keretanya untuk meminta wang.

Menurut Haslinda Md Noor, 34, kejadian berlaku pada pertengahan tahun lalu ketika dia bersama adiknya meletakkan kenderaan di pekarangan Pasar Besar Kedai Payang sebelum dikejutkan dengan kehadiran sebuah keluarga.

“Ketika itu, saya bersama adik berada di dalam kereta setelah selesai membeli barang di pasar, tiba-tiba keluarga itu menghampiri kereta kami dan salah seorang (wanita) mengetuk tingkap kereta beberapa kali sebelum meminta wang.

“Keluarga itu dilihat seperti sebuah keluarga yang normal kerana jika dilihat dari segi luaran, semuanya sempurna tanpa sebarang kecacatan.

“Mujur ketika itu saya mengunci pintu kereta, selepas berikan wang dia terus berlalu. Saya juga nampak mereka mengetuk tingkap kenderaan lain yang turut berada di kawasan sama selepas beredar dari kenderaan kami,” ceritanya.

Dalam pada itu, menurut salah seorang yang menulis komen dalam status yang dikongsi ramai itu, keluarga peminta sedekah itu adalah jirannya yang tinggal di daerah Kuala Terengganu.

Dalam masa sama juga, pembaca terbabit menyatakan lelaki dewasa yang selalu mendukung seorang kanak-kanak lelaki bersamanya, memiliki kad Orang Kurang Upaya kerana mengalami masalah lembam.

Dia juga menulis, tahap pendidikan keluarga itu termasuk ketiga-tiga anaknya yang dibawa bersama tidak sempurna dan kemungkinan besar mereka tidak bersekolah.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian menjejaki keluarga berkenaan di sekitar bandar Kuala Terengganu semalam tidak berhasil apabila mereka gagal ditemui.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Shaballah Zainal Abidin berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung tindakan keluarga berkenaan yang didakwa meminta sedekah dengan cara memasuki kenderaan orang ramai sebelum meminta wang di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Pada masa sama, Shaballah menasihati orang ramai yang melihat situasi seperti itu supaya melaporkan perkara berkenaan kepada balai polis berhampiran atau Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat. - Sinar Harian

Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Affiliate Network Reviews