Nexus 7 dengan Android 4.1 Jelly Bean sesuai untuk semua pengguna di Malaysia.
Asus, peneraju global era digital baru kini memperkenalkan tablet Google Nexus 7 di Malaysia yang juga merupakan tablet pertama dalam barisan peranti Nexus Google dan peranti utama bagi Android 4.1 Jelly Bean.
Dibangunkan bersama antara Asus dan Google, tablet tujuh inci teras quad pertama di dunia ini bakal memberi pengalaman Google terbaik dengan reka bentuk yang lebih nipis dan mudah dibawa ke mana sahaja.
Pengurus Asus Malaysia, George Su berkata, Malaysia adalah negara pertama di Asia yang melancarkan peranti itu.
“Kami yakin pengguna di Malaysia akan memahami kelebihan peranti yang kami bawakan. Jika sebelum ini, Asus mengeluarkan tablet pada harga yang lebih tinggi, namun pengenalan Nexus 7 ini sebagai usaha dalam menempatkan jenama kami di pasaran tempatan.
“Ia juga sebagai inisiatif untuk meningkatkan penguasaan pasaran syarikat terutamanya di negara ini. Kami juga yakin produk ini akan diterima memandangkan ia sesuai untuk semua,”katanya selepas majlis pelancaran, di Kuala Lumpur.
Nexus 7 yang menggabungkan perkakasan premium yang direka oleh Asus dengan versi Android terkini dan semua hiburan dari Google Play, kini boleh mula didapati di pasaran seluruh negara pada harga RM999.